Wednesday, May 26, 2010

Tentang KAU'10

Alhamdulillah.. selepas berbulan-bulan berhempas-pulas merealitikan Pertandingan Suara Nisa' (PERSONA) 2010, akhirnya tibalah masa untuk mengorak langkah bersama-sama Nisa' Pusat dalam Karnival Aura Ungu 2010 (KAU '10).

Karnival Aura Ungu yang berlangsung pada 21-23 Mei lepas, sememangnya sesuatu yang berbeza dari program-program anjuran Nisa' Malaysia sebelum-sebelum ni. KAU'10 ini ternyata sesuatu yang tidak mengecewakan peserta-peserta dan hadirin yang hadir dari seluruh pelusuk Malaysia. Oklah untuk julung-julung kali di adakan.

Kami dari Nisa' Perlis datang membawa 20 orang (AJK, peserta dan penyokong) di dalam satu bas yang di kongsi dengan Nisa' Kedah yang juga terdiri daripada 20 orang. Perjalanan dari Perlis ke Kedah kemudiannya bertolak ke Shah Alam bermula dari jam 9.00 malam (dari Kangar) dan tiba di Shah Alam pagi keesokan harinya. Orang Perlis ni bawa muatan banyak, dengan mempelamnya, dengan t-shirtnya, kicap, kuah rojak, roti dan lain-lain produk untuk dipasarkan semasa karnival berlangsung. Maklumlah, dah tempah satu booth, rugi kalu bawa bookmark yg dok ada seratus dua keping je tu.

Mulanya risau jugak nak pi Shah Alam dengan Nisa' Kedah ni. Bukan risau apa, tak dapat gambaran lagi tentang Nisa' Kedah, baik peserta, maupun AJKnya. Itulah, bila ukhwah antara negeri-negeri ni tidak terpupuk. Mungkin lepas ni, kita perlu perbanyakkan aktiviti yang boleh melibatkan Nisa' Kedah, Penang dan Perak. Tetapi alhamdulillah, bagi seseorang yang menjalankan kerja-kerja Islami ni, biarpun tidak pernah tahu namanya, tidak pernah lihat wajahnya, tetapi sebaik sahaja berjumpa pertautan antara hati-hati tu ada. Inilah kesaktian yang Allah kurniakan kepada orang-orang yang bekerja untuk agamaNya.

Di KAU'10, memang best. Ajk semua busy sampai takleh nak cakap telefon lama-lama (hehe). Jualan buah mempelam sangatlah menggalakkan, begitu juga dengan barang jualan yang lain. Alhamdulillah, ringan barangan nak di bawa balik nanti.

Selain gerai-gerai jualan, turut diadakan aktiviti-aktiviti menarik seperti pertandingan menggubah buah-buahan yang Nisa' Perlis sertai. Saingan hebat dari Nisa' negeri lain akhirnya menempatkan kami di tempat saguhati sahaja. Walau bagaimanapun tahniah di ucapkan kepada Nisa' Perlis yang bertungkus-lumus berusaha bersama-sama dalam menyiapkan gubahan tersebut. Ape yang penting, kerjasama.

Susulan daripada Persona peringkat negeri, diadakan juga Pertandingan Suara Nisa' Peringkat Kebangsaan yang di sertai oleh semua negeri-negeri dari seluruh Malaysia, kecuali Sarawak yang tidak dapat menghantarkan wakilnya. Alhamdulillah, untuk kategori nyanyian solo, peserta dari Nisa' Perlis merangkul tempat ketiga. Tahniah diucapkan kepada adik Atikah.

Bagi peserta berkumpulan pula, tahniah juga kami ucapkan kepada adik-adik 'Syababah min IPTIPs', walaupun tidak berjaya memenangi kategori tersebut tetapi usaha dan kesungguhan kalian untuk menaikan Nisa' Perlis sangatlah kami hargai. Well, kemenangan bukanlah segalanya. Yang penting semangat perjuangan.

Konsert Aura Ungu menampilkan dua penyanyi tanah air yang cukup terkenal, Heliza AF5 dan Aishah serta beberapa persembahan dari kumpulan Nur Mutiara-PASTI Titiwangsa dan kumpulan THE WAYFARERS. Wah, saya memang peminat Aishah dari kecil lagi. Sayangnya saya tidak berada di sana untuk menyaksikan persembahan live mereka. Persembahan dimulakan dengan bait-bait puisi yang dideklamasikan oleh Ustazah Norhafizah Musa, dengan diselitkan slide show yang menyentuh bab gejala sosial remaja hari ini. Memanglah konsert ini tidaklah se'gah' dan sehebat konsert-konsert hiburan yang diadakan di kota-kota besar sebelum ini, tetapi, intipati yang menyelitkan elemen-elemen Islamik dan mematuhi syariat yang digariskan dalam al-Quran inilah yang menjadikan Konsert Aura Ungu ini sesuatu yang berlainan dan semestinya halal untuk dihadiri. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur KAU'10.

Tiba semula di Perlis Darul Sunnah pada pagi Isnin kira-kira jam 9.00 pagi, memadamkan kerisauan yang bersarang di hati ibu-ibu dan kakak-kakak peserta dan ajk Nisa' yang menghadiri KAU'10. Maklumlah, perjalanan jauh macam-macam boleh berlaku. Tetapi syukur Allah membawa mereka pergi dan pulang dengan selamat.


.:Gambar-gambar kenangan KAU'10 :.


Antara artis jemputan (taken from facebook/The Wayfarers)

Persembahan dari adik2 PASTI Titiwangsa



Aktiviti pagi-pagi (Senamrobik)

Persembahan berkumpulan Syababah min IPTIPs

Peserta solo Nisa' Perlis ketika sesi latihan

(memenangi tempat Ketiga)



Semangatnya penyokong Nisa' Perlis


Booth Nisa' Perlis




















No comments: